Saturday 12 October 2013

Gambar, hijab, riba, spiritualiti dan penghakisan agama

Sebelum bermula, aku memohon sejuta kemaafan jika mengecewakan mereka yang mengikuti blog ini, yang mengharapkan kekerapan post yang konsisten. Sebab kelewatan ini ialah kemalasan dan kekurangan disiplin diri, kesibukan dan juga bahan yang tidak mencapai kualiti yang sewajarnya; sesuatu yang aku anggap sangat penting bagi para pembaca. Tapi aku harap para pembaca sedar, penangguhan ini tidak dilakukan dengan hati yang senang. Perasaan yang aku alami ini boleh disamakan dengan perasaan tak senang hati yang kau alami bila kau meninggalkan sesuatu yang wajib, atau melakukan sesuatu yang haram. Harapnya dengan meluahkan perasaan serba salah ini, serta dengan memohon kemaafan dengan ikhlas, kalian dapat memaafkan aku.

***

Satu hari, setelah agak lama tidak pulang ke rumah disebabkan tinggal di tempat belajar, aku agak pelik apabila mendapati yang seseorang daripada ahli keluarga aku telah membingkaikan gambar kami sekeluarga dan meletakkannya di atas meja ruang tamu. Pelik kerana dulunya benda macam ini tak diterima oleh keluarga kami. Menurut hadis [1], malaikat rahmat tidak masuk ke rumah yang di dalamnya ada gambar haiwan (termasuk manusia). Walaupun aku tidak menegur perbuatan tersebut kerana cenderung untuk mengelak konflik dan merasakan yang harmoni itu lebih berharga daripada ketegasan dalam amalan, tapi bukankah jelas yang ini ialah satu perbuatan yang tidak Islamik, jika mereka benar-benar menghayati apa yang terkandung di dalam hadis? Tapi mungkin “Islamik” itu sendiri ialah sesuatu yang subjektif. Di mana aku mungkin akan merasakan yang keimanan aku tidak sempurna jika aku tidak mengikuti hadis pengharaman gambar itu, ahli keluarga aku merasakan yang ianya sudah tidak lagi mempengaruhi keimanan mereka.

Di sini kita boleh lihat yang Muslim tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada teks dan wahyu untuk mendefinisikan apa itu baik atau buruk bagi diri mereka sendiri. Hakikatnya, banyak ajaran yang terdapat di dalam Islam sama ada sudah tidak lagi relevan atau tidak praktikal di dalam kehidupan Muslim yang moden. Dalam kes gambar, mereka tidak lagi kisah sama ada malaikat rahmat memasuki rumah mereka ataupun tidak. Kerana walaupun mereka wajib untuk percaya kepada benda-benda yang ghaib, termasuk malaikat; dan jikalau ada pun pengaruh terhadap kehidupan mereka melalui perletakan gambar di dalam atau penyingkiran gambar daripada rumah mereka, pengaruh tersebut tak dapat dikesan dan atas sebab itu kewujudan dan pengaruh malaikat rahmat diabaikan dan dilakukan seolah-olah tidak wujud, dan Muslim menjalani kehidupan mereka tanpa memikirkan langsung tentangnya.

Kita boleh lihat fenomena pengabaian ajaran agama dalam banyak kes yang lain. Hijab contohnya. Sesetengah keluarga Muslim tidak langsung menitikberatkan hijab, tapi jika ada orang yang menghina Nabi, merekalah antara orang yang pertama yang akan pergi membuat demonstrasi untuk membantah perbuatan tersebut. Mereka mempunyai perasaan tergolong (sense of belonging) kepada istilah "Muslim" dan agama Islam, walaupun mereka sendiri tidak mengamalkan Islam dengan seperti mana yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Muhammad. Mereka secara sengaja dan sedar memilih apa yang mereka rasakan baik dan praktikal di dalam Islam, dan berpegang hanya kepada itu. Bagi mereka, kod pakaian yang tidak konvensyenal tidak menghalang seseorang itu daripada menjadi individu Muslim yang sivil dan baik.

Contoh lain boleh dilihat dalam riba. Riba ialah jenayah yang sangat besar sehingga diancam dengan ancaman peperangan oleh Allah dan rasulnya [2]. Tapi sedikit sangat Muslim pada hari ini yang pernah membeli rumah atau kereta tanpa menggunakan pinjaman yang tidak melibatkan riba. Alasan yang selalu digunakan ialah demi kemaslahatan yang lebih besar. Agak pelik di mana Allah meletakkan umatnya yang tercinta di dalam satu keadaan di mana untuk mencapai "kebaikan yang lebih tinggi", mereka terpaksa melakukan jenayah yang begitu besar sekali. Apa-apa pun justifikasi mereka, kenapa Muslim tidak meletakkan ketaatan di atas kemaslahatan? Kenapa tidak pilih untuk hidup dalam kesukaran sebentar di dunia yang fana ini, tapi memenuhi kehendak tuhan dan akhirnya mendapat ganjaran yang lebih besar dan berkekalan di akhirat kelak, berbanding dengan kemudahan yang sementara sambil melanggar batasan tuhan? Jawapannya mudah, sebab ianya tidak realistik.

Aku pernah berdebat dengan seorang kawan (yang kegoyahan imannya boleh disandarkan kepada “hasutan” yang dilakukan oleh aku) sama ada penyampaian mesej atheism itu perlu atau pun tidak. Aku berpendapat, ya, kerana aku rasakan yang agama membawa banyak mudharat kepada manusia. Dia berpendapat yang atheism ialah hasil daripada masyarakat yang sudah “cukup”. Jika engkau mampu “mencukupkan” masyarakat, maka mereka akan meninggalkan dan mengabaikan agama dengan suka rela. Maka, apa yang perlu diusahakan ialah proses “pencukupan”, bukannya penyebaran ketidakpercayaan kepada tuhan. Kerana penyebaran antithesis kepada kepercayaan kepada tuhan ialah satu langkah yang terlalu drastik, yang hanya akan mengundang retaliation (tindak balas yang ganas) yang akan merugikan kedua-dua pihak. Lebih baik membiarkan perubahan datang secara beransur-ansur dan semulajadi. Aku pada hari ini cenderung untuk bersetuju dengan pendapatnya.

Apa yang aku maksudkan dengan “cukup”? Cukup dalam erti kata, kebanyakan daripada fungsi yang dimainkan oleh tuhan dan agama telah diambil alih oleh ejen-ejen fizikal, sehingga manusia tidak lagi mempunyai keperluan dan kemahuan terhadap agama. Agama, termasuk Islam, ialah peninggalan daripada zaman kejahilan manusia. Dulunya masyarakat Arab tidak memahami kenapa boleh berlakunya gerhana matahari, maka Muhammad telah mengeluarkan agakannya [3] bagi memberikan “penjelasan” kepada fenomena yang mencemaskan ini. Tapi sains telah berjaya menerangkan gerhana matahari tanpa perlu membuat andaian yang sama seperti yang telah Muhammad telah lakukan. Zakat pernah memainkan peranan dalam pengagihan kekayaan; sistem cukai yang 100% sekular dapat memainkan peranan yang sama. Api neraka pernah dipersalahkan apabila manusia mengalami demam dan Islam cara pengubatannya ialah menggunakan air [4], tapi pada hari ini punca demam telah difahami dengan cukup baik dan cara untuk mengubatnya tidak langsung bergantung kepada andaian yang ianya disebabkan oleh neraka.

Aku yakin yang kepandaian ialah salah satu sebab kenapa spesis kita begitu berjaya. Bak kata pepatah, “knowledge is power”, dan keupayaan manusia untuk memahami persekitarannya telah banyak membantu spesis kita dalam survivalnya di bumi. Tapi, dengan kepandaian yang kita dapati daripada evolusi kita, kita akan tidak dapat tidak bertembung dengan persoalan-persoalan yang sukar, seperti “apakah erti dan tujuan kehidupan”, “bagaimana mahu mencapai ketenangan jiwa” atau “apakah itu kebahagiaan”. Soalan-soalan seperti ini digolongkan dalam spiritualiti dan setakat ini perlu diakui yang kita masih tidak mempunyai ijmak atau persetujuan umum berkenaan dengan jawapan kepadanya. Aku rasa, selagi mana manusia tidak memahami spiritualiti secara total dan objektif serta berjaya untuk mengasingkan amalan-amalan yang benar-benar berkesan dalam mendidik “jiwa” daripada amalan-amalan rambang dan khurafat; agama, yakni sebuah pakej yang terkandung di dalamnya campuran antara keduanya, akan terus wujud. Tapi pengalaman menunjukkan yang banyak perkara-perkara yang dahulunya hanya mampu “diterangkan” oleh agama, sekarang ini sudah mampu dijawab oleh ilmu-ilmu ladiniyyah (tidak berkaitan dengan agama). Aku positif yang agama akan lambat laun hilang kuasa penjelasannya dan akan pupus sama sekali.

[2] Al-Baqarah, ayat 278-279
[3] Di dalam hadis (http://www.usc.edu/org/cmje/religious-texts/hadith/bukhari/018-sbt.php#002.018.158 ), diriwayatkan yang Muhammad menyebut yang Allah mahu menakutkan hambanya menggunakan gerhana. Agak pelik kerana fenomena gerhana ini pastinya sesuatu yang sangat lazim di dalam alam ini. Ambil Marikh sebagai contoh. Marikh mempunyai bulannya yang tersendiri. Bahkan dua bulan, Phobos dan Deimos. Kita tertanya-tanya, siapalah agaknya penduduk malang Marikh yang mahu ditakutkan oleh Allah apabila dia menjadikan Phobos beredar seketika di antara matahari dan Marikh? Mungkin jin.

2 comments:

  1. Keluarga saya pun sama juga. Ketika masa kecil dulu, saya pernah beri cadangan supaya men'frame'kan gambar family dan gantung kat dinding, yang kemudiannya dihalang oleh ibu dengan nada marah. Tetapi waktu berada di sekolah menengah, dia sendiri pula yang letak frame2 gambar family kat rumah. Bukan satu, tapi banyak. Saya bertanya tentangnya, namun alasan yang diberikan ialah asalkan gambar penghuni rumah itu tidaklah jadi masalah. Jangan letak pula gambar orang lain. Tapi hairan juga sebab kat office2 pun dah ada banyak gantung gambar2 yang dipertuan agong dan perdana menteri yang tak menghuni office tu. Mesti malaikat pun tak kuasa nak lalu kat sana :\

    Satu lagi pasal hijab. Jangan nak kata yang tak pakai hijab saja. Yang pakai hijab pun sama. Sekarang ni hijab tu atas nama fesyen je. Bukan atas nama agama. Sepatutnya, pakaian muslimah tak boleh warna warni dan berfesyen2 dengan unsur2 yang menarik perhatian. Satu warna saja yang sepatutnya x menarik perhatian iaitu hitam gagak. Tapi muslimah kat Malaysia bukan main lagi bling2 kalah2 pompuan kafir. Mana lagi pakai baju ketat dan ikut bentuk. Yang pakai pakaian kafir macam jeans tu dah rata2 jadi kemestian. Erm, panjang cerita kalau nak tegur bab aurat dorang ni. Tahu pasal hukum hakam tapi masih langgar sebab budaya tu sudah popular dan jadi kebiasaan. So masyarakat pun cenderung untuk tidak melihatnya sebagai kesalahan walaupun ada individu yang mungkin asyik dibelenggu perasaan serba salah terhadap agama.

    Pasal riba pula, baik suruh muslim buat rumah dan buat kereta sendiri je. Jangan beli kecuali boleh guna cash. Sekarang pun rata2 loan semua pakai riba. Education loan macam ptptn pun riba juga. Adalah yang sudah menjadi mustahil untuk hidup bersandarkan kepada 100% ajaran islam di zaman ini. Nilai2 sekularisme yang universal sudah menjadi pegangan dan kemestian kerana manfaat yang disumbangkannya kepada umat manusia.

    ReplyDelete
  2. tidak dapat dinafikan ada banyak persoalan yang tidak dapat dijelaskan oleh authoriti yang mewakili golongan theist. malah persoalan-persoalan ini akan terus timbul sebagaimana ungakapan satu kaedah fiqh: an-nusus mutanahiyah, wal qadhiyatu la tantahi. teks dari tuhan telah tamat, tapi persoalan kehidupan akan terus wujud.

    walaupun seorang theist, aku juga masih mencari jawapan kepada pelbagai soalan yang kelihatan bercanggah dengan realiti kehidupan.

    namun jauh disudut hati, segala persoalan yang aku tidak ketemu jawapan tidak pula menjadikan aku tidak merasai sifat bertuhan.sebab sifat bertuhan pada aku satu yang complexs dan interpretasinya sangat pelbagai mengikut apa yang diyakini individu itu sendiri.

    ReplyDelete